You are herePerbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional
Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional
Syarat-syarat Pembiayaan Pinjaman
Pelajar layak memohon pembiayaan pendidikan sekiranya memenuhi syarat-syarat berikut:
- Pemohon adalah warganegara Malaysia;
- Berumur tidak melebihi 45 tahun pada tarikh memohon;
- Lulus Sijil Pelajaran Malaysia(SPM) dengan sekurang-kurangnya 3 kepujian dalam mana-mana mata pelajaran;
- Lulus SPM bagi pelajar lepasan Sijil Kolej Komuniti dan Diploma Politeknik dengan syarat memperolehi CGPA 3.0 dan ke atas;
- Bagi pelajar-pelajar IPTA/IPTS/Politeknik, mereka hendaklah telah mendaftar untuk mengikuti kursus yang telah diluluskan oleh
- Jabatan Pengurusan IPT(IPTA/IPTS)/Jabatan Pengurusan Politeknik dan Kolej Komuniti,Kementerian Pengajian Tinggi;
- Bagi pelajar-pelajar IPTS, kursus yang diikuti mestilah telah mendapat Sijil Perakuan Akreditasi daripada Agensi Kelayakan Malaysia(MQA) dan belum tamat tempoh sah laku semasa permohonan dikemukakan;
- Semua pelajar hendaklah mempunyai kelayakan masuk yang disyaratkan oleh Kementerian Pengajian Tinggi untuk mengikuti kursus berkaitan. Bagi pelajar yang mempunyai kelayakan yang berbeza daripada yang disyaratkan, pengesahan bahawa kelayakan tersebut setaraf dengan kelayakan yang disyaratkan hendaklah diperolehi daripada jabatan atau agensi sebagaimana dinyatakan di perkara di atas;
- Baki tempoh pengajian semasa permohonan dibuat tidak kurang dari satu tahun.
- Pembiayaan pinjaman pendidikan PTPTN memerlukan dua(2) penjamin yang terdiri daripada ibu dan bapa kandung pemohon sahaja tanpa mengambil kira had umur dan pendapatan penjamin;
- Mulai 1 Januari 2008, pembiayaan pinjaman hanya dipertimbangkan kepada pelajar yang mempunyai akaun simpanan SSPN sekurang-kurangnya RM 3,000.00 bagi ibu bapa yang berpendapatan RM2,000.00 ke atas dan RM500.00 bagi ibu bapa yang berpendapatan kurang dari RM2,000.00;
- (Dasar penetapan had penabungan wajib telah dikecualikan pada masa kini, walaubagaimanapun pemohon pembiayaan pinjaman diwajibkan mempunyai akaun SSPN dengan simpanan RM20 sebelum layak memohon pembiayaan pinjaman pendidikan PTPTN)
- Tidak mempunyai penaja lain; dan
- Jumlah keseluruhan pembiayaan pinjaman yang telah diperolehi pelajar dengan mengambil kira pinjaman yang akan diluluskan hendaklah tidak melebihi RM65,000.00.
Nota: Akaun SSPN hendaklah dibuka selewat-lewatnya 2 minggu sebelum tarikh sesi permohonan di IPT
Permohonan Secara Online
Kaedah permohonan pembiayaan pendidikan adalah seperti berikut :
- Pemohon hendaklah memohon pembiayaan PTPTN secara online melalui Laman Web Pembiayaan Pinjaman online di alamat http://epinjaman.ptptn.gov.my. Akan tetapi, pemohon hanya boleh memohon mengikut tarikh buka dan tutup IPT masing masing.
- Bagi tujuan melengkapkan permohonan pembiayaan PTPTN secara online, pemohon terlebih dahulu perlu mempunyai nombor akaun individu mengikut bank yang telah ditetapkan oleh IPT masing-masing (sila rujuk di sini). Namun, terdapat beberapa IPT yang memberi kemudahan pra-pembukaan akaun bank untuk pemohon.
- Pemohon boleh menyemak keputusan permohonan pembiayaan PTPTN di Laman Web Pembiayaan Pinjaman online di http://epinjaman.ptptn.gov.my atau melayari Laman Web PTPTN bermula 3 hari selepas tarikh tutup permohonan online untuk IPT masing-masing.
- Pemohon yang berjaya ditawarkan pembiayaan PTPTN perlu melayari Laman Web Pembiayaan Pinjaman online di alamat http://epinjaman.ptptn.gov.my. dan mencetak dokumen yang disenaraikan.
- Untuk cetakan, pastikan komputer anda mempunyai program ‘Adobe Acrobat Reader’. Jika tidak, muat turun program tersebut daripada laman web http://www.adobe.com/products/acrobat/ dan klik pada ikon ‘Get ADOBE READER’. Simpan dan ‘Install’ di komputer anda.
- Dokumen-dokumen yang tersenarai dibawah hendaklah dicetak dengan menggunakan kertas berwarna putih yang bersaiz A4 (80 gsm) dengan menggunakan satu muka kertas untuk setiap satu (cetakan tidak dilakukan pada muka depan dan belakang di helaian yang sama). Dakwat cetakan hendaklah berwarna hitam.]
- 1 set (cetakan komputer) dan 1 set salinan (fotostat) Surat Tawaran Pinjaman (beserta Surat Akuan Penerimaan, Surat Kebenaran 1, 2, 3, dan 4 dan seterusnya menandatangani dokumen berkenaan**;
- 1 set (cetakan komputer) dan 1 set salinan (fotostat) dokumen Perjanjian Pinjaman dan seterusnya menandatangani dokumen berkenaan**;
- 1 set (cetakan komputer) dan 1 set salinan (fotostat) Surat Jaminan Pinjaman dan seterusnya menandatangani dokumen berkenaan**;
- 2 keping setem hasil yang bernilai RM10.00 setiap satu**. Bagi setiap Perjanjian Pinjaman Pendidikan yang telah disempurnakan, hendaklah dilekatkan setem berharga RM10.00 di sudut kanan atas pada muka depan setiap set dokumen perjanjian. (rujuk LAMPIRAN A pada dokumen Perjanjian Pinjaman).
Nota**
Setiap satu set adalah untuk Pemohon dan PTPTN. Namun, sekiranya pihak Penjamin memerlukan 1 set, Penjamin harus mengemukakan surat rasmi dan dihantar ke alamat seperti dibawah :-
PERBADANAN TABUNG PENDIDIKAN TINGGI NASIONAL
Lot G2, Tingkat Bawah
Wisma Chase Perdana
Off Jalan Semantan
Damansara Heights
50490 Kuala Lumpur.
U/P: Unit Perjanjian
Setiap dokumen tawaran di atas mestilah dilampirkan bersama SATU SALINAN dokumen sokongan yang telah DISAHKAN seperti berikut:
- Maklumat permohonan pinjaman yang diisi secara atas talian oleh pemohon
- Kad Pengenalan pemohon; (muka hadapan dan belakang dibuat salinan pada muka surat yang sama)
- Surat Tawaran dari IPT:
- Sijil SPM (salinan transkrip keputusan peperiksaan SPM hanya diterima jika tidak melebihi tempoh DUA TAHUN dari tahun peperiksaan kepada tahun pinjaman PTPTN dibuat);
- Sijil kelayakan masuk lain (contoh: STPM/Diploma/Matrikulasi/Ijazah Sarjana(Master) (surat pengesahan tamat pengajian dari IPT perlu disertakan jika pemohon belum menerima sijil dan tiada pengesahan tamat pada transkrip peperiksaan);
- Buku/Penyata nombor akaun persendirian mengikut bank yang telah ditetapkan oleh IPT masing-masing;
- Slip Gaji atau Kad Pesara Kerajaan atau Borang Pengesahan Pendapatan (EA/EC) atau Borang Pengesahan Pendapatan Ibu Bapa/Penjaga dan Pasangan Penjaga/Pemohon dan Pasangan;
- Salinan Kad Pengenalan ibu dan bapa kandung;
- Sijil Kematian sekiranya ibu atau bapa kandung meninggal dunia atau Akuan Sumpah sekiranya ibu bapa kandung tidak dapat dikesan;
- Surat Pengesahan/Surat Akuan daripada Jabatan Kebajikan Masyarakat/Pusat Zakat, sekiranya pemohon/ibu/bapa/penjaga merupakan penerima bantuan bulanan dari agensi berkenaan; dan
- Kad keahlian SSPN/slip deposit SSPN/penyata akaun SSPN dari laman web PTPTN.
Bagi pelajar yang mengemukakan permohonan pada semester 2 dan ke atas, tambahan dokumen sokongan berikut diperlukan:
- Surat Pengesahan masih belajar dari IPT; dan
- Salinan keputusan peperiksaan setiap semester sebelumnya.
(Setiap dokumen sokongan hendaklah difotostat dengan menggunakan kertas bersaiz A4 dan disahkan pegawai yang layak. Maklumat mengenai pegawai yang layak mengesahkan dokumen boleh didapati daripada laman web PTPTN.)
Tawaran Pembiayaan
Tawaran pembiayaan pendidikan akan diberikan sekiranya pemohon memenuhi syarat-syarat dan menepati kaedah permohonan pembiayaan yang telah ditetapkan.
Tawaran pembiayaan kali kedua hanya akan dipertimbangkan sekiranya memenuhi syarat-syarat seperti berikut:
- Menepati syarat-syarat dan kaedah permohonan pembiayaan.
- Pelajar yang telah mendapat pembiayaan pendidikan untuk pengajian terdahulu tetapi gagal menamatkan pengajian atau mendapat penajaan lain boleh memohon pembiayaan kedua untuk meneruskan pengajian mereka setelah hutang pembiayaan terdahulu diselesaikan.
- Pelajar yang telah mendapat pembiayaan pendidikan dan berjaya menamatkan pengajian terdahulu boleh memohon pembiayaan untuk meneruskan pengajian ke peringkat yang lebih tinggi. Permohonan untuk peringkat pengajian yang sama tidak akan dipertimbangkan.
- Pertimbangan bagi pembiayaan kali kedua tertakluk kepada peruntukan yang mencukupi.
Kelulusan tempoh pembiayaan akan ditentukan mengikut semester semasa iaitu ketika permohonan lengkap diterima oleh PTPTN.
Tawaran pembiayaan hanya sah dalam tempoh 1 bulan dari tarikh kelulusan. Sekiranya dalam tempoh tersebut, dokumen perjanjian tidak disempurnakan, tawaran pembiayaan akan dibatalkan.
Dokumen perjanjian pembiayaan pinjaman hanya akan dianggap lengkap sekiranya dokumen tersebut dimeterai dengan Setem Hasil. Sila pastikan anda menyediakan dua keping Setem Hasil yang bernilai RM10 setiap satu untuk dilekatkan pada dokumen tersebut.
Tawaran pembiayaan akan dibatalkan atau ditarik balik sekiranya didapati berlaku kesilapan tawaran atau pemalsuan maklumat.
Untuk maklumat lanjut, sila ke laman web PTPTN.
