You are hereUcapan Ketua Warden
Ucapan Ketua Warden
Pendahuluan
Selamat Datang ke kamsis Politeknik Port Dickson. Tahniah dan Syabas kepada anda semua kerana berjaya mendapatkan tempat tinggal yang selamat, tenteram dan selesa di kamsis PPD dengan bayaran RM12.00 sebulan atau 40 sen sehari dengan kemudahan air dan api diberi secara percuma. Mendiami kamsis PPD bukan merupakan hak atau keistimewaan kepada seseorang pelajar. Pihak Pengurusan Politeknik berhak menawar, tidak menawar atau menarik balik tawaran kemudahan ini kepada mana-mana pelajar tanpa perlu memberi sebarang sebab atau alasan. Anda merupakan golongan pelajar yang bernasib baik daripada ribuan pemohon. Oleh yang demikian bersyukurlah dan hargailah peluang dan kesempatan yang diberikan kepada anda. Sebagai menghargai kesempatan dan peluang yang diberikan kepada anda, sewajarnya anda memberi kerjasama yang sepenuhnya kepada Pihak Pengurusan Kamsis PPD. Pertimbangan mendiami kamsis akan sentiasa diberi kepada pelajar yang menghargai kemudahan dan bekerjasama dengan Pihak Pengurusan Kamsis dalam mematuhi peraturan yang ditetapkan.
Menjayakan Misi Kamsis Politeknik Port Dickson
Sebaik sahaja anda menjejak kaki ke kamsis PPD anda perlu menyedari, memahami dan menghayati serta sedia melaksana dan menjayakan misi kamsis PPD. Misi kita ialah Berusaha bersama mewujudkan suasana kamsis yang selamat, tenteram dan selesa sebagai tempat tinggal dan tempat belajar yang harmoni. Misi yang digariskan ini menjadi hala tuju kepada kehidupan yang ceria dan sejahtera di kamsis PPD yang sesuai untuk pembelajaran yang akhirnya nanti menjamin kejayaan pelajar.
Sebagai tempat tinggal dan tempat belajar kita mahu kamsis kita sentiasa selamat untuk didiami. Bukan tempat yang merbahaya dan berisiko tinggi. Keselamatan yang dimaksudkan bukan sahaja terhadap penghuni tetapi juga terhadap kemudahan dan peralatan kamsis. Sebab itu punca-punca yang berpotensi menggugat keselamatan seperti penggunaan ubat nyamuk asap, memasang lilin, menghisap rokok dan penggunaan heater perlu dihindari. Melakukan kerosakan kepada kemudahan kamsis menyebabkan anda menjadi makhluk perosak dan berisiko tinggi kepada kemudahan dan peralatan kamsis, penghuni kamsis serta pihak Pengurusan Kamsis. Kemudahan untuk tinggal di kamsis bagi pelajar perosak agak sukar untuk dipertimbangkan.
Kita juga mahu kamsis kita sentiasa tenteram dan tenang agar anda boleh mengulangkaji pelajaran, menyiapkan tugasan dan projek dengan sempurna. Membuka radio dengan kuat, berhimpun ramai dan menjerit tanpa sebab boleh menggugat ketenteraman kamsis perlu dielakkan kerana mengganggu tumpuan pelajar untuk belajar. Kita juga mahu kamsis kita sentiasa selesa sebagai tempat tinggal dan rumah anda. Oleh yang demikian menjadi tanggungjawab semua pelajar memastikan kebersihan dan keceriaan kamsis berada pada tahap yang baik. Sampah sarap perlu dibuang di tempat yang disediakan. Bilik sendiri, paras dan blok hendaklah sentiasa dibersihkan. Ketua Blok dan Ketua Paras perlu memastikan bahawa Jadual Bertugas Kebersihan setiap paras diwujudkan. Pelajar yang sanggup tinggal di kamsis perlu sanggup memikul tanggungjawab di atas. Kalau tidak sanggup bekerjasama sewajarnya mengundur diri dari kamsis kerana ramai lagi yang sedia bekerjasama.
Pelajar Kamsis Bertanggungjawab Mematuhi Peraturan Kamsis
Peraturan kamsis digariskan adalah untuk memastikan keselamatan, ketenteraman dan keselesaan pelajar sepanjang tinggal di kamsis. Apabila anda menjejak kaki di kamsis dan blok kamsis seterusnya ke bilik, anda dapati kamsis bukan untuk anda seorang. Anda tinggal dan berkongsi kemudahan dengan ramai pelajar yang lain. Oleh yang demikian anda perlu manjadi seorang yang berdisiplin dan perlu berupaya menyesuaikan diri dengan kehidupan bermasyarakat. Anda perlu peka dan sensitif kepada persekitaran anda. Setiap tingkah laku anda perlu mengambil kira persekitaran dan rakan-rakan anda yang lain. Sebagai memenuhi tahap kehidupan yang cemerlang di kamsis semua pelajar kamsis bertanggungjawab mematuhi satu garis panduan yang sama iaitu Peraturan kamsis. Peraturan kamsis digubal bukan untuk menyusahkan pelajar tetapi untuk menjamin kesejahteraan kehidupan di kamsis. Oleh yang demikian mematuhi Peraturan kamsis adalah tanggungjawab pelajar. Pelajar yang tidak bersedia bekerjasama mematuhi Peraturan kamsis amat menghampakan pihak Pengurusan kamsis dan dianggap tidak menghargai peluang yang diberikan. Pelajar yang gagal mematuhi peraturan kamsis akan dikenakan tindakan yang sewajarnya. Kesalahan yang dilakukan akan direkodkan. Pelajar yang merosakkan kemudahan kamsis dengan sengaja perlu membayar kos memperbaiki kemudahan atau peralatan yang dirosakkan. Sekiranya kemudahan tersebut merupakan peralatan gunasama maka pelajar terbabit perlu berkongsi menanggung kos pembaikan tersebut.
Aktiviti Kamsis
Semua pelajar yang mendiami kamsis PPD diwajibkan mengikuti aktiviti kamsis. Aktiviti kamsis dirancang untuk mencapai hasrat misi kamsis PPD. Di samping itu aktiviti yang dirancang akan membantu pelajar menguruskan masa dengan aktiviti-aktiviti terancang yang sistematik lagi berfaedah. Antara aktiviti yang dirancang adalah gotong-royong, pertandingan kebersihan dan keceriaan, ceramah-ceramah pencegahan kebakaran dan motivasi, fire drill serta menggalakan cara hidup sihat melalui sukan dan sukaneka. Semua aktiviti yang dirancang akan dikendali oleh pelajar sendiri di bawah pengawasan pihak warden kamsis PPD.
Peranan Warden Kamsis
Pelajar yang tinggal di kamsis amat beruntung kerana kebajikan anda diawasi oleh pihak warden. Keistimewaan ini tidak diperolehi oleh pelajar yang tinggal di luar kamsis. Warden memainkan peranan penting dalam membantu dan menjaga kebajikan pelajar agar sentiasa berada pada tahap yang baik dan sejahtera. Warden dianggap sebagai pengganti ibu bapa. Warden juga berperanan sebagai fasilitator, kaunselor dan pembimbing anda. Oleh yang demikian kenalilah secara dekat semua warden kamsis anda dan sentiasalah berbincang dengan mereka. Peranan terakhir yang dimainkan oleh Warden ialah sebagai penguatkuasa peraturan. Walaupun warden dianggap sebagai kaunselor atau pembimbing dan mempunyai budibicara tertentu, tetapi bagi pelajar yang degil atau gagal mematuhi Peraturan Kamsis para warden tetap bertindak tegas dan mengambil tindakan yang sewajarnya.
Penutup
Anggaplah kamsis sebagai rumah anda sendiri. Gunalah segala kemudahan dengan baik. Patuhi Peraturan kamsis yang telah ditetapkan. Libatkan diri dalam aktiviti yang dirancang. Hormatilah para warden, penyelia, pengawal keselamatan dan petugas-petugas kamsis. Jadikanlah kehidupan anda di kamsis Politeknik Port Dickson sebagai sesuatu yang menyeronokkan dan tidak mmenyusahkan diri anda dan orang lain.
Pastinya anda akan selamat dan berjaya. Selamat Maju Jaya.
Dari Pejabat Warden,
WAN MOHD HUJJATULLAH WAN GHAZALI
Ketua Warden,
Kamsis Politeknik Port Dickson
No.Tel Kecemasan :
Pejabat Kamsis: 06-6622032 (Waktu Pejabat)
Pejabat Warden: 06-6622033 (9.15 mlm – 11.00 mlm)
Pengawal Keselamatan: 06-6622050 (Sepanjang masa)
