Anda di siniPelajar / JPP / Jawatankuasa Perwakilan Pelajar

Jawatankuasa Perwakilan Pelajar


JPP DIS 2012

Klik untuk besarkan

 

JPP POLITEKNIK, KPTM

JPP Politeknik KPTM merupakan satu badan induk pelajar (bukan Penaung) sebagai satu landasan bagi semua pelajar menyalurkan isu-isu/maklumat peringkat bawah kepada peringkat atasan (sebaliknya) samada kepada Pengarah atau mana-mana pegawai tinggi kerajaan malah boleh menyampaikannya kepada Menteri KPTM melalui forum dan majlis yang dibenarkan/disediakan.

JPP juga mempunyai keistimewaannya tersendiri apabila pemilihan mereka dilakukan melalui proses pilihanraya kampus yang membolehkan keseluruhan pelajar melaksanakan tanggungjawab mereka membuang undi. Hanya JPP yang terpilih sahaja mendapat pengiktirafan pengurusan apabila mereka mendapat Watikah Perlantikan berbanding pengerusi kelab dan persatuan. Selain itu perihal JPP juga terkandung di dalam Jadual III (Seksyen 7, 8, 22 dan 23), Akta Institusi-Institusi Pelajaran (Tatatertib) Pelajar 1976.

Penubuhan JPP berasaskan kepada peruntukan undang-undang yang terkandung di dalam Akta Institusi-Institusi Pelajaran (Tatatertib) Pelajar 1976 di dalam Seksyen 7 yang menyatakan "Sesuatu Institusi hendaklah mempunyai suatu Jawatankuasa Perwakilan Pelajar dan peruntukan-peruntukan Jadual Ketiga hendaklah dipakai bagi Jawatankuasa itu dengan syarat bahawa Menteri boleh, menurut budibicara mutlaknya, membuat, dengan perintah yang disiarkan dalam Warta, apa-apa ubahsuaian, penyesuaian, tambahan, potongan atau pindaan sebagaimana yang difikirkannya perlu dan bermenafaat kepadanya dalam pemakaiannya bagi mana-mana Institusi atau klas atau perihal Institusi tertentu"

 

KELAB / PERSATUAN YANG LAIN

Kelab dan persatuan boleh diwujudkan di dalam politeknik sekiranya Pengarah mendapat permohonan berkenaan permohonan penubuhan sesuatu kelab dan persatuan daripada sekumpulan pelajar dan pengarah mendapati penubuhan kelab tersebut adalah memberi manfaat yang besar kepada politeknik. Sewajarnya semua kelab dan persatuan menggunakan prosedur yang sama digunakan oleh JPP (sebagai badan induk) dari segi prosedur pengurusan kewangan, permohonan kelulusan dan pelaksanaan aktiviti. Sewajarnya setiap kelab dan persatuan memaklumkan perkembangan aktiviti yang dijalankan kepada JPP agar tidak berlaku pertindihan aktiviti dalam sesuatu masa.

Penubuhan kelab dan persatuan berasaskan kepada peruntukan undang-undang yang terkandung di dalam Akta Institusi-institusi Pelajaran (Tatatertib) Pelajar 1976 di dalam Seksyen 8 (1) yang menyatakan "Tanpa menyentuh seksyen 7, maka adalah sah bagi tidak kurang daripada sepuluh orang pelajar sesuatu Institusi dengan mendapat kelulusan Pegawai Hal Ehwal Pelajar terlebih dahulu yang diberi selepas mendapat persetujuan Menteri, dan tertakluk kepada apa-apa had dan syarat sebagaimana yang ditentukan oleh Pegawai Hal Ehwal Pelajar itu, menubuhkan sesuatu badan pelajar terdiri daripada pelajar-pelajar Institusi itu bagi menganjurkan sesuatu tujuan atau kepentingan tertentu dalam Institusi itu".

 

TEMPOH PERKHIDMATAN DAN PEMBUBARAN

JPP mempunyai tempoh selama satu tahun perkhidmatan. Walau bagaimanapun Pengarah (Pegawai Hal Ehwal Pelajar) boleh membubarkan JPP atau mana-mana kelab dan persatuan mengikut hak dan kuasa yang ada padanya. Ini terkandung di dalam Seksyen 9 Akta Institusi-institusi Pelajaran (Tatatertib) Pelajar 1976 menyatakan:

  1. Menteri atau Ketua Eksekutif boleh, menurut budibicara mutlaknya, tanpa memberi apa-apa sebab, menggantung atau membubarkan JPP atau mana-mana badan pelajar yang ditubuhkan di bawah seksyen 8, dan memberi apa-apa arahan yang berbangkit atau mengambil apa-apa langkah berbangkit sebagaimana yang perlu atau bermenafaat untuk menguatkuasakan penggantungan atau pembubaran itu.
  2. Penggantungan atau pembubaran JPP atau sesuatu badan pelajar yang ditubuhkan di bawah seksyen 8 hendaklah berkuatkuasa dengan serta-merta selepas sahaja dibuat keputusan untuk menggantung atau membubarnya.
  3. Penggantungan atau pembubaran JPP atau sesuatu badan pelajar yang ditubuhkan di bawah seksyen 8 adalah muktamad dan tiada mahkamah mempunyai apa-apa bidangkuasa untuk melayani apa-apa langkah perbicaraan terhadap penggantungan atau pembubaran itu.

 

ORGANISASI

Hanya JPP sahaja yang dibenarkan menggunakan perjawatan Yang DiPertua dan Naib Yang DiPertua serta Exco. Manakala kelab dan persatuan dinasihatkan menggunakan perjawatan Pengerusi, Naib Pengerusi dan Biro.

Pembentukan organisasi amat penting bagi menggambarkan perjalanan JPP yang jelas tetapi ianya bergantung kepada politeknik masing-masing.